JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri membelanjakan RM2.766 juta bagi pelaksanaan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) sejak Ogos 2024 hingga Ogos tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 469,657 parcel ubat telah dihantar kepada pesakit yang memerlukan bekalan ubat susulan dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, penghantaran ubat melalui perkhidmatan itu meningkat sebanyak 225 peratus dengan purata 24,937 parcel sebulan tahun ini berbanding 9,664 parcel sebelum pelaksanaannya.
“Inisiatif itu membantu mengurangkan beban kewangan pesakit kerana mereka tidak perlu hadir ke kaunter farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat susulan. Perkhidmatan ini juga dapat mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi, selain memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat,” katanya.









