JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membelanjakan RM2.76 juta bagi pelaksanaan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) yang telah mula dilaksanakan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Ogos 2024 hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 469,657 parcel ubat telah dihantar kepada pesakit dengan preskripsi ubat susulan.

“Menerusi inisiatif ini, terdapat peningkatan penghantaran parcel UMP sebanyak 225 peratus, iaitu 24,937 purata parcel sebulan sepanjang tahun ini, berbanding 9,664 purata parcel sebulan sebelum pelaksanaan perkhidmatan ini.

“Inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan pesakit yang kini tidak lagi perlu hadir ke kaunter farmasi KKM bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.