KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries mengikut jadual ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan mendedahkan tarikh ketibaan pesawat ringan berkenaan dalam masa terdekat.
“Mengikut jadual pesawat itu akan tiba pada bulan ini atau bulan depan. Tarikh ia akan tiba nanti saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di sini hari ini.
Pada Mei 2023, Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20, yang kemudian dinamakan sebagai FA-50M (Malaysia).








