JOHOR BAHRU: Skuad hoki muda negara muncul juara Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Hoki Johor, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Young Tigers menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali bergelar juara setelah memenanginya buat kali pertama pada edisi pertama, 2011.

Penjaga gol Malaysia, Adib Amsyar Mohammad Hanif bertindak cemerlang apabila menafikan dua pukulan penalti Fayyaz Hamza dan Muhammad Ammad pada penalti shoot-out itu.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu memperagakan aksi bertenaga setelah bangkit untuk menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dengan dua jaringan. Pada perlawanan final itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga pada suku pertama setelah masing-masing mencari gol pembukaan bagi memberi tekanan kepada lawan.