Johor Bahru: Skuad remaja kebangsaan muncul juara selepas menewaskan Pakistan 4-3 dalam penentuan penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi sebenar final Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.
Kejayaan itu mengakhiri penantian 13 tahun buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin untuk muncul juara selepas kali terakhir menjuarai SOJC pada 2011 manakala Pakistan terpaksa akur naib juara dan mengulangi pencapaian pada edisi 2016.
Di awal permainan Young Tigers terlepas peluang membuka tirai jaringan selepas pukulan sudut penalti G Dheeressh pada minit keempat suku pertama berjaya ditepis penjaga gol Pakistan, Intesham Muhammad.






