Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah mengakui lebih selesa tidak membalas komen negatif yang ditulis netizen di media sosial.
Nadia atau nama sebenar, Nadia Aqilah Bajuri berkata, dia juga tidak mahu hatinya terguris apabila membaca komen negatif sekali gus mahu menjaga kesihatan mentalnya.
"Memanglah komen negatif mengguris perasaan. Ada kalanya, saya sudah menaip untuk membalas kecaman netizen, tetapi akhirnya mengambil pendekatan untuk tidak berbuat demikian.
"Kalau saya balas komen negatif, 10 tahun akan datang, anak-anak saya pula yang akan membaca apa yang ditulis bila mereka sudah dewasa kelak.








