Johor Bahru: Semua institusi pendidikan agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan beroperasi semula mulai Isnin ini, susulan trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri sejak lima hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia selaras arahan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh Johor yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.

Beliau berkata, pengoperasian semula itu membabitkan Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Negeri Johor, tertakluk kepada arahan kerajaan negeri serta JAINJ.

"Pengoperasian sekolah hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang berkuat kuasa, termasuk mengambil langkah pencegahan berdasarkan keadaan kualiti udara dan bacaan IPU semasa," katanya melalui kenyataan media itu, hari ini.