Marang Sebanyak 20 spesies kelulut hidup termasuk daripada spesies jarang dijumpai menjadi tarikan utama Repositori Kelulut Indo-Malaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Kor, dekat sini.
Pengasas Repositori Kelulut UMT Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata kesemua spesies yang terdapat di pusat tersebut telah diperakui kesahihan identiti melalui proses inventori dan pengenalpastian taksonomi, sekali gus membolehkannya digunakan sebagai rekod saintifik untuk rujukan bagi kerja-kerja penyelidikan.
Beliau berkata antara koleksi unik terdapat di repositori tersebut ialah Heterotrigona erythrogastra, Tetrigona peninsularis, Sundatrigona moorei, Tetragonula melina dan Odontotrigona haematoptera, iaitu spesies yang belum pernah direkodkan penemuannya di Semenanjung Malaysia sebelum ini.









