PARIS: Sejumlah butik mewah di Perancis menutup premis dan memperketat kawalan keselamatan menjelang demonstrasi baharu hari ini, selepas kejadian rusuhan dan penjarahan ratusan kedai di beberapa bandar utama hujung minggu lalu.
Antara premis yang akan ditutup adalah kedai jam Rolex dan butik De Beers berhampiran Place Vendome di Paris, manakala pengurusan beberapa kedai lain mempertimbangkan untuk menamatkan operasi lebih awal bergantung pada keadaan demonstrasi.
Pengurusan butik jam IWC milik kumpulan Richemont, akan memutuskan sama ada perlu menutup premis lebih awal berdasarkan tahap demonstrasi.
Hujung minggu lalu, perusuh memecahkan tingkap dan menjarah ratusan kedai di Paris, Marseille dan Bordeaux, sekali gus mendorong peniaga mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi premis masing-masing.









