PETALING JAYA: Persatuan Pusat Perusahaan Perusahaan Ikan Malaysia (PPPIM) mencadangkan tiga mekanisme subsidi diesel, termasuk penetapan harga RM3 seliter, bagi membantu pengusaha kapal nelayan laut dalam kategori C2 menangani peningkatan kos operasi.

Pengerusi PPPIM, Sing Kian Hock berkata, dua lagi mekanisme yang dicadangkan ialah pemberian subsidi berdasarkan jumlah hasil tangkapan serta bantuan mengikut bilangan pelayaran atau elaun bulanan bagi kapal yang layak.

“Cadangan ini dikemukakan bagi membantu kerajaan mencari penyelesaian yang praktikal dan seimbang demi kepentingan industri perikanan serta rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.

Sing berkata, menerusi mekanisme pertama, kerajaan dicadang mempertimbangkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM3 seliter bagi kapal C2 yang layak, dengan perbezaan harga ditanggung kerajaan sekiranya harga diesel melebihi kadar berkenaan.