PETALING JAYA: Seorang pekerja penyelenggaraan maut manakala rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh kedua-dua mangsa yang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pada pukul 5.08 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lima pekerja terdiri daripada seorang penyelia, seorang pemandu lori dan tiga warga Bangladesh menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).









