Beijing: Prihatin dengan nasib pekerja yang terpaksa meredah cuaca sejuk ketika berulang-alik ke tempat kerja, pemilik rangkaian restoran daging lembu di China menghadiahkan kereta BMW baharu kepada kakitangan cemerlangnya.

Ma Yanli yang memiliki rangkaian restoran beribu pejabat di Jiaozuo, wilayah Henan membawa beberapa pekerjanya mengambil kereta mewah berkenaan pada 24 September lalu.

Menurut laporan Henan TV, setiap kereta bernilai 300,000 yuan (kira-kira RM180,000) itu dibeli Ma secara tunai dua minggu lebih awal sebelum diserahkan kepada pekerjanya.

Pekerjanya, Li Jie yang menerima kenderaan itu mengakui teruja dan tidak pernah menyangka bakal menerima hadiah semahal itu.