KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 daripada 39 hospital utama di seluruh negara mencatatkan purata masa menunggu katil untuk kemasukan ke wad dari Jabatan Kecemasan kurang lapan jam sehingga Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pencapaian itu membabitkan hospital Jenis Satu dan Dua, terdiri daripada hospital negeri serta hospital pakar utama yang menerima jumlah pesakit tinggi dan limpahan kes rujukan dari daerah sekitar.
Katanya, pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 2025 apabila hanya 55.26 peratus hospital mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada 480 minit.
"Manakala, 94 daripada 103 hospital Jenis Tiga dan Empat, terdiri daripada hospital pakar minor dan hospital tanpa pakar, mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada 240 minit," katanya menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat, hari ini.









