Kuala Lumpur: Global Royalty Trading SAL akan menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas berpangkalan di Lubnan itu.

Pada 10 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membayar jumlah berkenaan dalam tempoh sebulan, selepas memutuskan beliau bertanggungjawab ke atas kehilangan 43 barang kemas yang didakwa berada dalam simpanannya.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu, kemudian memberikan penangguhan pelaksanaan bersyarat, dengan memerintahkannya mendepositkan jumlah penuh ke dalam akaun pemegang amanah yang dipegang peguam kedua-dua belah pihak, dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun Global Royalty boleh menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan pada 23 September lalu, menolak permohonan Rosmah untuk mendapatkan penangguhan tanpa syarat, sementara menunggu rayuannya.