JAKARTA: Pihak berkuasa Kastam dan Eksais Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup emas seberat 25.88 kilogram (kg) bernilai Rp61.95 bilion (RM15.5 juta) menerusi lima lapangan terbang antarabangsa di negara itu, sepanjang bulan ini.

Pengarah Penguatkuasaan dan Penyiasatan Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais, Priyono Triatmojo, berkata kejayaan rampasan itu adalah melalui operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Jawa Timur, Kertajati di Jawa Barat, I Gusti Ngurah Rai di Bali, Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta dan Soekarno-Hatta di Banten.

"Sepanjang Oktober 2026, pegawai Kastam merampas 25.88 kg emas bernilai kira-kira Rp61.95 bilion di lima lapangan terbang antarabangsa.

"Individu disyaki terbabit dalam kegiatan eksport emas secara haram itu adalah warga asing yang cuba menyeludup ke luar negara," katanya pada sidang media di Jakarta, pada Isnin.