KUALA LUMPUR: Video tular memaparkan seorang wanita menarik tengkuk penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sebelum mengucup pipinya pada majlis resepsi perkahwinannya dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar, Johor, Ahad lalu, mengundang kemarahan netizen.
Insiden tercetus ketika Bella, 32, atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah dan suami, Syed Saddiq, 33, yang juga Ahli Parlimen Muar, sedang menyantuni tetamu yang meraikan hari bahagia mereka.
Menerusi video berkenaan, seorang wanita secara tiba-tiba memegang tengkuk Bella sebelum menariknya untuk mengucup pipi pelakon itu tanpa diduga.
Tindakan wanita terbabit pantas mengundang reaksi kurang senang pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai perbuatan biadab, selain boleh mengancam keselamatan pelakon bertubuh kecil itu.








