PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan kemelut dalaman membabitkan komponen parti itu akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pertemuan sudah diadakan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi mencari penyelesaian menerusi semangat musyawarah.

"Kita tidak bincang secara terbuka, bergaduh secara secara terbuka. Kalau ada perkara yang jadi masalah, kita duduk dan Insya-Allah perkara itu dapat kita tangani dengan baik.

"Saya sudah berjumpa dengan Ketua Menteri dan juga Presiden MCA. Alhamdulillah, kami dapat duduk bersama, kita akan mencapai penyelesaian yang sebaik-baiknya demi BN," katanya.