PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 110 slot Biasiswa Atlet Cemerlang kepada atlet cemerlang tahun ini berbanding 99 slot tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu adalah usaha kerajaan memperluas peluang pendidikan kepada atlet agar supaya bukan sahaja cemerlang dalam sukan sebaliknya mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

“Sebagai contoh, kalau sebelum ini kita sediakan 100 biasiswa setiap tahun. Dan kali ini kita tambahkan lagi. Saya difahamkan untuk tahun ini ke tahun depan kita dapat 110, tambah lagi 10.

“Jadi dari tahun ke tahun kita akan tambah, supaya beri ruang kepada saudara-saudari sekalian untuk membangunkan potensi diri,” katanya ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KPT di sini, hari ini.