Kuching: Atlet Sarawak yang mencipta kejayaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah lebih RM1 juta sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka pada temasya berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak menyediakan insentif berdasarkan pingat yang dimenangi serta kategori acara sama ada individu atau berpasukan.

Beliau berkata, pemenang pingat emas menerima RM15,000, perak (RM5,000) manakala gangsa (RM3,000) sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan atlet mengharumkan nama Sarawak.

"Insentif tambahan RM1,000 turut diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod sedia ada sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian istimewa itu," katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.