Johor Bahru: "Saya memohon bantuan orang ramai kerana masa semakin suntuk. Saya perlu jalani rawatan kemoterapi secepat mungkin," kata isteri penyanyi kumpulan nasyid Iman Heart, Noor Diana Hashim, 47.

Noor Diana berkata, akibat sel kanser sudah merebak ke hati, paru-paru, tulang belakang serta leher dia terpaksa bergantung bantuan oksigen sepanjang masa termasuk ketika tidur.

Sementara bengkak air pada tangan kirinya selepas menjalani pembedahan payu dara empat tahun lalu semakin buruk hingga pergerakannya terhad.

Bagi mengelak keadaan bertambah buruk, dia disaran menjalani rawatan kemoterapi dalam tempoh terdekat.