LONDON: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menuntut penjelasan mengenai kepimpinan presidennya, Gianni Infantino, dengan jawapan diminta selewat-lewatnya pada 2 November ini.
Media Britain melaporkan, surat berkenaan mengandungi 42 persoalan merangkumi 12 perkara, termasuk projek FIFA Forward Enterprise (FFE) yang dibatalkan serta penganugerahan FIFA Peace Prize.
Setiausaha Agung UEFA, Theodore Theodoridis dilaporkan menghantar surat kepada rakan sejawatannya di FIFA, Mattias Grafstrom bagi menuntut maklum balas segera.
"Persoalan ini memerlukan jawapan sekarang. Ia tidak boleh ditangguhkan sehingga mesyuarat Majlis FIFA yang seterusnya, dan pembaharuan tadbir urus pada masa depan juga tidak boleh menggantikan penelitian terhadap keputusan yang sudah dibuat serta akauntabiliti mengenainya," kata Theodoridis menurut laporan media Britain.








