Rantau Panjang: Seorang anggota polis berpangkat koperal tidak menyangka operasi rutin membanteras dadah nyaris meragut nyawanya apabila suspek dikejar melibas tangan kirinya menggunakan parang.

Kejadian berlaku ketika dia menyertai sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Lalang Pepuyu di Tanah Merah, pada 17 Oktober lalu, sebagai sebahagian operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah.

"Suspek ada dalam bilik sebelum menyedari kehadiran kami yang memasuki rumahnya. Dia yang bersenjatakan parang terus melarikan diri menuju jalan utama," katanya.

Anggota berusia 37 tahun itu berkata, dia bersama rakan setugas mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum lelaki berkenaan menyerangnya.