Mengakui nama kakaknya, pelakon senior Nasha Aziz, sedikit sebanyak membuka ruang untuknya dikenali dalam industri seni, pelakon meningkat naik, Zairi Aziz, tetap mahu membina kerjaya berdasarkan bakat dan kemampuan sendiri.

Zairi, 24, berkata, meskipun hubungan kekeluargaan itu memberi kelebihan dari segi pengenalan nama, dia percaya kemampuan seseorang untuk bertahan dalam industri lakonan tetap bergantung pada bakat, usaha dan kesungguhan memperbaiki diri.

Katanya, dia tidak mahu dikenali hanya kerana statusnya sebagai adik kepada pelakon berpengalaman itu, sebaliknya mahu membuktikan dirinya juga memiliki kemampuan untuk bersaing dalam industri seni tanah air.

"Memang betul saya dikenali sebagai adik kepada Nasha, tetapi bagi saya, perkara itu tidak semestinya memberikan kelebihan kepada seseorang. Kita boleh lihat ramai adik-beradik pelakon turut mencuba nasib dalam bidang lakonan, tetapi tidak semuanya mempunyai bakat.