SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan EHang mengumumkan kerjasama bagi meneliti aspek keselamatan, teknikal dan peraturan berkaitan cadangan penggunaan Mobiliti Udara Termaju (AAM) dalam Ekonomi Altitud Rendah (LAE).Kerjasama melalui pendekatan sandbox kawal selia itu bertujuan menyediakan ruang untuk meneliti aspek teknikal dan operasi pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan, bidang kerjasama itu merangkumi kelayakan terbang, keselamatan operasi, kecekapan kakitangan serta pengurusan penyelenggaraan pesawat."EHang akan membantu CAAM menilai aktiviti yang dicadangkan syarikat itu di Malaysia."Sebarang demonstrasi atau percubaan yang dicadangkan akan dinilai secara berasingan dan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan CAAM serta pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Menurutnya, CAAM akan melaksanakan kerjasama itu sebagai badan pengawal selia penerbangan awam Malaysia.Sebarang operasi pada masa hadapan pula akan dinilai berdasarkan undang-undang Malaysia dan keperluan peraturan yang berkuat kuasa, dengan pelaksanaannya bergantung kepada penilaian keselamatan serta tahap kesiapsiagaan operasi."CAAM dan EHang mengakui pembangunan mobiliti udara termaju secara bertanggungjawab memerlukan pendekatan berperingkat, berasaskan bukti teknikal dan penilaian keselamatan yang menyeluruh."Kerjasama itu turut bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai teknologi penerbangan baharu, selain memastikan keselamatan dan kepentingan awam terus menjadi keutamaan dalam usaha memperkenalkan teknologi tersebut."Ia juga persediaan bagi operasi komersial mobiliti udara termaju di Malaysia pada masa hadapan," menurutnya.