PADANG TERAP: Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terkorban dalam insiden ketika bertugas di Perlis selamat dikebumikan, malam ini.
Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan, 41, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, dengan istiadat pengebumian dan kawalan oleh anggota Maritim Malaysia kira-kira pukul 9.45 malam ini.
Kira-kira 500 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah termasuk kedua-dua anak arwah iaitu Rayyan Shakimi, 14, dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd. Zawawi Abdullah dan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.









