KANGAR: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, manakala tiga rakan setugas cedera, dipercayai tercampak keluar dari bot yang terlanggar tembok di pesisir pantai di Sungai Padang, di sini, tengah malam tadi.

Insiden ketika pasukan berkenaan difahamkan mengejar sebuah bot disyaki membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam itu, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi anggota dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai insiden berkenaan.