JAKARTA: Indonesia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas bersama bagi memastikan syarikat-syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah, termasuk melalui perkongsian risikan kewangan serta pengumpulan bukti rentas sempadan.

Persetujuan itu dicapai semasa perbincangan antara Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir dan rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan di sini pada Selasa, mesyuarat rasmi pertama mereka sejak pelantikan Arrmanatha.

Arrmanatha berkata semasa mesyuarat itu, Singapura menawarkan untuk berkongsi data mengenai syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berkenaan, yang disambut baik oleh Indonesia sebagai peluang bagi memperkukuh kerjasama dalam mengheret pihak yang terlibat untuk dipertanggungjawabkan.