JOHOR BAHRU: Penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah, UUE Holdings Bhd (UUE) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku kedua tahun kewangan 2027 yang melonjak 71 peratus kepada RM11 juta daripada RM6.45 juta bagi tempoh sama pada tahun kewangan 2026.

Perolehan hasil meningkat 30 peratus tahun ke tahun kepada RM75 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 31 Ogos 2026 daripada RM57.67 juta setahun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, UUE memaklumkan kumpulan itu berjaya meneruskan rekod prestasi dengan mencatat hasil bagi suku tahunan dan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah bagi suku kedua berturut-turut.

Pertumbuhan hasil itu didorong terutamanya oleh operasi di Singapura dengan perolehan hasil melonjak hampir empat kali kepada RM20.2 juta walaupun nilai dolar Singapura susut berbanding ringgit daripada tempoh sama tahun lepas manakala hasil operasi di Malaysia meningkat 4.2 peratus kepada RM54.8 juta.