MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) mahu jentera partinya dan Perikatan Nasional (PN) melupakan permusuhan politik lalu bagi memastikan persefahaman baharu antara kedua-dua gabungan itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama berkenaan mencerminkan landskap politik baharu di Melaka yang menuntut kedua-dua pihak mengetepikan perbezaan terdahulu demi mencapai matlamat bersama.

Beliau berkata, walaupun BN dan PN sebelum ini berdepan hubungan politik yang tidak mesra, kedua-dua pihak perlu menerima realiti baharu itu dengan membina kerjasama sebagai rakan strategik.

"Oleh kerana ini adalah rakan kongsi baharu, rakan strategik kita... walaupun dulu kita alergik dengan hijau dan mereka alergik dengan biru, namun kini ia berubah dan menjadi satu landskap politik baharu di Melaka.