KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) meletakkan matlamat mempertahankan kerusi penyandang sedia ada sebagai asas, di samping menyasarkan peluang untuk merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menurut Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil.Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH petang tadi bagi memperincikan persediaan jentera gabungan itu."Kita (PH) lihat garis asas kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa yang sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi."Jadi, sekiranya usaha dan ikhtiar kita dan strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan. Kita sasar, kita realistik, kita faham keadaan tetapi kita lihat ada beberapa perkara yang membolehkan kerusi-kerusi yang kita sasarkan ini untuk berpindah kepada PH," katanya.Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di sini malam ini.Mengenai persiapan jentera, Fahmi berkata, Majlis Presiden telah diberi taklimat oleh Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berhubung tahap kesiapsiagaan di peringkat negeri."Dari segi calon-calon yang telah diumumkan tempoh hari, saya lihat gerak kerja mereka diteruskan dan kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, hari penamaan calon, insya-ALLAH calon-calon daripada PH bersedia untuk berdepan dengan semua yang akan bertanding dalam PRN Melaka," katanya.Tambahnya, mesyuarat Majlis Presiden PH petang tadi turut mengambil maklum mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan beberapa ikhtiar pelaksanaan reformasi kerajaan.Bagi kemudahan petugas media sepanjang liputan PRN Melaka, Fahmi berkata, sebuah pusat media utama kendalian Jabatan Penerangan akan mula beroperasi pada 30 Oktober hingga 14 November ini di Hotel Mudzaffar, Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh. - Bernama