PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana kekuatan parti itu di kawasan majoriti Melayu, terutama di luar bandar.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 berkemungkinan besar dapat dipertahankan, malah kedudukan parti itu bakal lebih kukuh sekiranya kerjasama dengan Pas dapat direalisasikan.

“Naratif Melayu Islam akan menjadi kuat dan ini membolehkan BN mendominasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 24 hingga 25 kerusi adalah majoriti Melayu, manakala lima kerusi majoriti Cina dan selebihnya kawasan campuran.