KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) mempertahankan prinsip penyandang sebagai asas pengagihan kerusi pilihan raya, sekali gus memberi gambaran bahawa UMNO mempunyai kelebihan untuk mengekalkan 21 kerusi yang dimenangi di Melaka sebelum ini.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, prinsip 'incumbency' atau penyandang menjadi konsep yang dipersetujui secara umum dalam rundingan pengagihan kerusi bagi memastikan kerjasama politik dapat dibentuk.Menurut beliau, kedudukan parti yang memegang kerusi sedia ada perlu diambil kira, seperti yang berlaku di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan."Konsep yang dipersetujui secara umum ialah incumbency, maknanya penyandang."Kena ingat, di Kelantan ini Pas dan PN memegang 42 daripada 43 kerusi. Itulah incumbency," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Sabtu.Sebelum ini, media melaporkan Barisan Nasional (BN) mengesahkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November depan.Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan mengenai pengagihan kerusi antara kedua-dua pihak telah dimuktamadkan.Menurut beliau, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan gabungannya akan bertanding di tujuh kerusi.Takiyuddin menjelaskan, prinsip sama turut terpakai di Terengganu apabila Pas dan PN menguasai 28 kerusi, manakala UMNO mempunyai 17 kerusi di Pahang.Menurutnya, kedudukan penyandang juga menjadi asas dalam rundingan di Negeri Sembilan apabila UMNO mengekalkan 14 kerusi sebelum berlaku pertambahan dalam pengagihan seterusnya."Di Melaka memang incumbency-nya 21 UMNO. Di Negeri Sembilan dulu, incumbency UMNO 14 kerusi. tulah yang kena faham," katanya.