Kuala Lumpur: Bedah siasat ke atas seorang lelaki yang meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) ketika dalam tahanan polis pada 1 Okt mendapati tiada kecederaan pada organ dalamannya.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata terdapat beberapa kecederaan luaran.

"Punca kematian dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal)," katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 Sept berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.