KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad melakar kejayaan apabila julung kali merangkul Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) pada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc. itu menewaskan dua lagi pemain industri pelabuhan negara, iaitu Northport Malaysia Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dalam kategori berkenaan.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Menara MITI, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anugerah Kecemerlangan Industri yang diperkenal MITI pada 1991 adalah pengiktirafan kepada syarikat yang mencapai kecemerlangan dalam amalan pengurusan, menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.