SUNGAI BULOH: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, mencadangkan kerajaan mewajibkan semua drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman atau over-the-top (OTT) menjalani proses penapisan bagi memastikan kandungannya tidak keterlaluan.
Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, berkata langkah itu perlu dipertimbangkan susulan kecenderungan segelintir pengkarya menghasilkan kandungan yang melampaui batas atas alasan kebebasan berkarya.
“Ada juga drama kita yang kadang-kadang berlebih-lebihan, kononnya atas nama berkarya. Kita kena sedar, drama dan filem Malaysia ada tahapnya sendiri.
“Aksi yang disajikan kepada penonton tidak bolehlah terlalu menonjol. Saya harap selepas ini drama di platform OTT juga perlu melalui proses penapisan yang ketat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.









