KUALA LUMPUR: Sistem Pemintas Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) atau sistem antidron yang bakal diterima Malaysia daripada Jepun akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Sepanggar dan Labuan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem yang dibekalkan menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun itu bertujuan memperkukuh keupayaan negara menghadapi ancaman serangan dron.
"Kita sedang berdepan situasi geopolitik yang berbeza dan berada di rantau yang mempunyai cabaran ketara.
"Seperti yang sering saya tegaskan, kita adalah sebuah negara maritim. Kita mempertahankan wilayah daratan, tetapi pada masa sama mesti melindungi keseluruhan domain maritim negara.









