MELAKA: Sebanyak 251 kes kesalahan seksual melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, statistik yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan bahawa keselamatan seksual dalam persekitaran pendidikan memerlukan perhatian serius dan tindakan berterusan.

"Dalam menangani isu ini, kita bukan sahaja perlu mengetahui cara melindungi diri, tetapi juga memahami kaedah untuk membantu orang lain dengan betul.

"Oleh itu, antara matlamat utama Skuad Waja Siswa yang membawa maksud Wanita Anti Jenayah ditubuhkan adalah untuk menggalakkan penglibatan sukarelawan dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran serta membantu menangani keganasan terhadap wanita," katanya.