MELAKA – Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan memperuntukkan tujuh kerusi tidak ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Perikatan Nasional (PN), meskipun terdapat usaha untuk mendapatkan kerusi tambahan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telah dipersetujui menerusi perjanjian bersama dan BN akan berpegang pada persetujuan berkenaan.

“Saya dengar ada usaha-usaha pengintaian itu, tetapi kita sudah ada bai’ah, perjanjian bahawa mereka diberikan peluang merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi BN dan kita serah untuk pengagihan antara parti gabungan dalam PN.

“Setakat ini, itulah yang diputuskan dan kita pegang apa dipersetujui bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di sini hari ini.