Kuala Lumpur: Guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki dalam kejadian di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen.

Menurutnya, polis menerima lima laporan berasingan berhubung kejadian itu yang dibuat di Balai Polis Bukit Jalil, membabitkan mangsa remaja dan kanak-kanak lelaki.

"Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober," katanya dalam kenyataan hari ini.