KAJANG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak lima hari lalu ditemui meninggal dunia di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Impian Mahkota, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.29 malam.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 50-an itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebuah kereta jenis Perodua Axia.

"Pemeriksaan mendapati enjin kenderaan tidak dihidupkan dan pintu kereta berkunci dari dalam. Pihak bomba membantu membuka pintu kenderaan dan lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang," katanya dalam kenyataan hari ini.