New Delhi: Maklumat peribadi yang dikaitkan dengan 3,897 rekod pelanggan State Bank of India (SBI), bank sektor awam terbesar di India, dikesan tersebar di laman gelap (dark web), sekali gus mendorong siasatan berhubung kemungkinan kebocoran data, lapor Asia News Network (ANN).

Pendedahan itu dibuat selepas pemeriksaan awal terhadap kira-kira 375,000 rekod yang tersedia di laman berkenaan, namun penyiasat masih belum dapat memastikan punca kebocoran atau skala sebenar insiden itu.

Maklumat yang dikenal pasti dalam penilaian awal termasuk nama pelanggan, nombor telefon bimbit berdaftar, tarikh lahir, jantina, alamat e-mel dan alamat kediaman.

Butiran cawangan bank, nombor pengenalan Fail Maklumat Pelanggan (CIF), nombor pengenalan prospek serta maklumat berkaitan pinjaman turut dikenal pasti dalam data yang terdedah.