Kuala Lumpur: Hasrat kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, masih belum membuahkan hasil apabila sistem berkenaan didakwa kerap 'lumpuh' dan kurang mesra pengguna.

Meskipun mencatatkan lonjakan muat turun melebihi 800,000 pengguna berikutan isu keselamatan data pada aplikasi luar seperti Waze, realiti penggunaannya di jalan raya masih jauh daripada memuaskan keperluan pemandu tempatan.

Hasil tinjauan mendapati aplikasi hasil pembangunan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) itu berdepan pelbagai masalah teknikal kritikal sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati ramai.

Pengalaman penulis sendiri ketika menggunakan aplikasi itu dari Bangsar ke Bukit Jalil turut mengecewakan apabila sistem navigasinya langsung tidak berfungsi.