Kuala Lumpur: Kekecewaan jelas terpancar daripada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli apabila impian memburu emas keempat berturut-turut di Sukan Para Asia tidak kesampaian, sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Mengakui sudah melakukan segala yang termampu menerusi persiapan rapi dan latihan bersungguh-sungguh, Ziyad tetap sukar menyembunyikan rasa kecewa apabila hasrat mempertahankan kejuaraan sejak edisi 2014 tidak menjadi kenyataan.

"Saya agak kecewa kerana kita mahukan gelaran di Sukan Para Asia ini, tetapi saya sudah cuba yang terbaik. Saya sudah menjalani latihan dan melakukan segala usaha, namun rezeki belum menyebelahi saya kali ini," kata Ziyad.