KUALA LUMPUR: Hampir 11 tahun membina nama dalam industri muzik tempatan, kumpulan pop rock, Insomniacks, bakal melakar pencapaian baharu menerusi pelancaran album sulung, Kami Insomniacks, pada 30 Oktober ini.
Mengandungi 12 lagu yang mengangkat tema cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri, album itu turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi serta penulis lagu tempatan, termasuk Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Insomniacks berkata, album berkenaan cukup bermakna kerana menghimpunkan pengalaman dan perjalanan mereka sepanjang hampir 11 tahun berkarya bersama.
"Album ini sangat bermakna buat kami kerana selepas hampir 11 tahun menghasilkan muzik bersama, akhirnya kami dapat berkongsi album pertama. Ia merangkum perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini," kata kumpulan itu dalam kenyataan.









