KUALA LUMPUR- Selepas hampir 11 tahun mewarnai industri muzik tempatan, kumpulan pop rock Insomniacks bakal melakar satu lagi pencapaian menerusi pelancaran album sulung berjudul KAMI INSOMNIACKS pada 30 Oktober ini.
Album yang memuatkan 12 lagu itu menghimpunkan kisah cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri berdasarkan pengalaman yang dilalui anggota kumpulan berkenaan. Ia turut menampilkan kerjasama dengan beberapa nama tempatan termasuk Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Insomniacks menyifatkan album itu sebagai karya bermakna yang merangkum perjalanan serta pengalaman mereka sepanjang hampir 11 tahun berkarya bersama. Mereka turut meneroka bunyi dan pendekatan penulisan lagu baharu, sambil mengekalkan identiti muzik yang dikenali peminat.










