KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat, khususnya perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respons yang baik.