Singapura: Seorang lelaki yang berulang kali merakam video di bawah skirt wanita dipenjara 28 minggu selepas mahkamah memberi amaran pada Jumaat bahawa hukuman sebat boleh dikenakan sekiranya dia mengulangi kesalahan itu, lapor Channel NewsAsia (CNA).

Gary Huang Kunjie, 41, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengintai secara seksual (voyeurisme) bagi kesalahan yang dilakukan pada Jun tahun ini.

Dia berulang kali dipenjarakan atas kesalahan sama sejak 2018 dengan sabitan direkodkan setiap tahun dari 2018 hingga 2022 serta pada 2025.

Pada 20 Jun lalu, Huang yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terlihat seorang wanita yang menarik perhatiannya sebelum mengekori mangsa menaiki eskalator di pusat beli-belah Northpoint City, Yishun.