Kuching: PAS hampir pasti bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, iaitu Semariang, Sebuyau dan Beting Marau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun keputusan muktamad masih tertakluk kepada kelulusan kepemimpinan tertinggi parti.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, ketiga-tiga kerusi berkenaan sudah dicadangkan untuk dimuktamadkan di peringkat pusat, selain mempunyai jentera yang dianggap bersedia bagi menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, parti itu turut mempertimbangkan satu lagi kerusi DUN di utara Sarawak, sama ada dalam kawasan Parlimen Bintulu atau Sibuti, namun belum bersedia mengumumkannya buat masa ini.

Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumkan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.