KUALA KANGSAR: Seramai 1,000 pelajar daripada lima buah universiti di negeri ini akan menerima bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan menerusi Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030.

Lima kampus tersebut ialah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah mahasiswa anak Perak yang menerima bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan turut meningkat daripada 600 orang pada tahun lalu kepada 1,000 orang pada tahun ini.

Jelasnya, setiap kampus melibatkan 200 mahasiswa dengan keutamaan diberikan kepada anak Perak daripada keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah serta golongan asnaf.