KUALA LUMPUR: Di sebalik niat untuk menjadikan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai penarik lebih banyak sokongan buat UMNO pada PRU16, kini ia telah beralih menjadi beban tambahan kepada parti itu dengan menjadikan imej rasuah UMNO semakin kuat terpalit.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, usaha untuk mengangkat naratif berkaitan penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan politik UMNO dalam mendekati pengundi menjelang PRU16.

Walau bagaimanapun, katanya, tumpuan yang diberikan terhadap isu ini, termasuk perbincangan mengenai inisiatif bantuan dana bagi menampung denda beliau, menerima reaksi yang pelbagai daripada masyarakat umum serta memerlukan penelitian yang mendalam daripada sudut strategi parti.